Saturday, 9 March 2013

SEJARAH RINGKAS HAJI




Pada tahun ke 6 hijrah Nabi SAW bermimpi melakukan Umrah iaitu baginda tawaf, saei dan bercukur. Mimpi baginda  dikongsi dengan para sahabat yang lain. Bila mendengar mimpi ini, para sahabat khususnya golongan muhajirin merasa rindu untuk pulang ke kampung halaman masing-masing di Mekah.

Justeru Rasulullah SAW dan sahabat telah mencapai kata sepakat untuk mengerjakan umrah pada tahun tersebut. Jumlah yang menyertai rombongan Umrah ini ialah seramai 1500 orang.  Setelah berjalan kira-kira 14 km, maka sampailah rombongan ini di suatu tempat yang bernama Zulhulaifah. Di situ Nabi SAW memerintahkan kepada para sahabat agar memakai pakaian ihram dan berniat ihram umrah. Kemudian rombongan umrah ini meneruskan perjalanan menuju ke Mekah sambil bertalbiah.  

             Apabila rombongan ini sampai di Hudaibiyah, lebih kurang 21 km dari Mekah mereka ini dihalang oleh-oleh orang Quraisy untuk memasuki Mekah.  Rasulullah SAW kemudiannya telah mengutus Saidina Othman untuk berunding dengan orang-orang Mekah, namun terdengar khabar angin yang mengatakan Saidina Othman telah di bunuh oleh orang Quraisy.

            Para sahabat sangat marah dengan berita ini. Rasulullah SAW telah mengumpulkan sahabat di bawah sebatang pokok yang dikenali sebagai pokok Samrah dan berlakulah apa yang dikatakan sebagai Baitur Ridwan, sumpah setia untuk bersama-sama dengan Rasulullah SAW dan menunutut bela di atas kematian Saidina Othman. 

Berita Rasulullah SAW membuat baiatur Ridwan telah sampai kepada orang-orang musyrikin Mekah. Mereka sangat gerun dengan semangat umat Islam lalu membeaskan Saidina Othman dan mengutus wakil mereka untuk berunding dengan Rasulullaah SAW. Hasil rundingan itu maka  berlakulah dalam sejarah Islam apa yang dinamakan sebagai perjanjian Hudaibiyah.
 
            Di antara isi perjanjian Hudaibiyah ialah umat Islam tidak dibenarkan mengerjakan umrah pada tahun tersebut tetapi dibenarkan  mengerjakan umrah pada tahun berikutnya dengan syarat hendaklah keluar dari kota Mekah selepas 3 hari. Setelah termeterai perjanjian ini maka Rasulullah SAW menyembelih dam yang berupa kambing dan juga mengarahkan sahabat supaya melakukan hal yang sama. 

            Pada tahun berikutnya (bulan Zulka’dah tahun 7 Hijrah), seperti yang telah termeterai dalam perjanjian Hudaibiyah, Nabi SAW dan umat Islam telah menuju ke Mekah semula dan berjaya menyempurnakan umrah secara aman tanpa  gangguan. Umrah ini dikenali sebagai umrah Qadak dengan jumlah ahli seramai 2000 orang. Inilah penunaian janji Allah SWT bahawa Nabi dan umat Islam pasti akan memasuki kota Mekah dalam keadaan aman dan selesa.

            Firman Allah SWT dalam surah al-Fath ayat 27,

Maksudnya : Sesungguhnya Allah akan membuktikan kepada Rasul-Nya tentang kebenaran mimpinya dengan sebenarnya bahawa kamu pasti akan memasuki Masjidil Haram dengan izin Allah secara aman, dengan mencukur rambut kepala dan mengguntingnya, tanpa perasaan takut. Dan Allah mengetahui apa yang kamu tidak tahu dan di samping itu Dia akan memberikan satu kemenangan dalam masa yang terdekat kepadamu (27)

            Pada tahun ke 8 Hijrah berlaku peristiwa pembukaan kota Mekah, di mana Rasulullah SAW dan sahabat berjaya membebaskan Mekah daripada penguasaan Quraisy. Di antara arahan pertama Rasulullah SAW ialah mengarahkan sahabat supaya membersihkan sekeliling Kaabah dari berhala-berhala yang jumlahnya sebanyak 360 buah.

            Pada tahun ke 9 hijrah, oleh kerana  Rasulullah SAW sangat sibuk menerima kunjungan tetamu Negara yang datang hendak menjalinkan hubungan diplomatik dengan  kerajaan Islam Madinah, maka Rasulullah SAW telah melantik Saidina Abu Bakar sebagai Amir Haji untuk memimpin umat Islam mengerjakan Haji pada tahun tersebut.

            Pada tahun yang sama juga orang musyrikin di sekitar tanah Arab  masih dibenarkan masuk ke Mekah  untuk mengerjakan haji mengikut cara tradis nenek moyang mereka. Sehinggalah turun wahyu surah at-Taubah ayat 1-40 di mana Allah SWT melarang mereka masuk ke Mekah selepas itu. Wahyu ini dibacakan oleh Saidina Ali KWJ di hadapan semua Jemaah Haji di Arafah pada tahun tersebut.

            Pada tahun ke 10 Hijrah Rasulullah SAW mengistiharkan diri untuk mengerjakan fardhu Haji. Pada 25 Zulka’dah, Rasulullah SAW telah memulakan perjalanan menuju ke Mekah, diiringi dengan isteri-isteri bagindan dan para sahabat yang jumlahnya seramai 120 000 orang. Haji ini dikenali sebagai Haji Islam, Haji Akbar atau Haji Wada’. 

Bersambung..
           

No comments:

Post a Comment